Thursday, April 2, 2015

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA

MURID DAN TEKANAN EMOSI

 
Pengenalan
Gangguan ataupun tekanan emosi dalam kalangan murid boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih karasteristik oleh murid-murid. Menurut Kamus Dewan (2002), gangguan emosi memberi maksud sebagai gangguan emosi akibat daripada konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan ataupun perlakuan tertentu. Gangguan emosi juga dapat ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka menyendiri dan mempunyai emosi yang tidak stabil.

 
Antara gangguan emosi yang lazim berlaku khususnya dari segi personality pelajar adalah anti-sosial. Ketidakmampuan untuk belajar yang tidak dapat dijelaskan oleh faktor-faktor intelektual dan kesihatan juga menjadi definisi kepada gangguan emosi. Secara ringkasnya, gangguan emosi boleh dikatakan bahawa gangguan yang diterima oleh seseorang murid yang menyebabkan emosi murid tersebut menjadi tidak stabil.

 
Masalah tekanan emosi ini juga akan menimbulkan banyak kesan khususnya terhadap kehidupan seseorang murid. Gangguan emosi ini adalah satu perkara yang amat serius pada usia persekolahan dan seharusnya perlu ditangani oleh pelbagai pihak dari masa ke semasa. Golongan murid akan mengalami gangguan emosi yang serius dan ini menyebabkan tekanan (stress) kepada murid-murid.
 

Faktor penyebab gangguan emosi
Terri Mauro (2004) menyatakan bahawa terdapat banyak faktor penyumbang kepada gangguan emosi yang berlaku khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, antara faktor-faktor yang sangat ketara adalah masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan juga masalah keluarga. Secara ringksasnya berikut merupakan antara punca-punca atau faktor-faktor yang menyumbang kepada permasalah gangguan emosi alam kalangan pelajar:

a)    Persekitaran sekolah

b)    Gaya pengajaran guru

c)    Peristiwa dalam keluarga

d)    Pengaruh keluarga

e)    Pengaruh rakan sebaya

 
Persekitaran Sekolah
Persekitaran sekolah khususnya sekolah yang tidak kondusif sebenarnya boleh menyumbang kepada permasalahan emosi dalam kalangan pelajar. Contohnya, gangguan emosi itu mungkin berpunca daripada masalah bilik darjah yang tidak kondusif, kesesakan di dalam kelas dan juga kurangnya kemudahan asas pembelajaran yang boleh mewujudkan kecenderungan murid untuk mengalami tekanan semasa belajar.

 
Kebanyakan murid akan berasa tertekan akibat daripada suasana persekitaran yang tidak kondusif dan mengganggu emosi mereka. Keadaan ini berlaku kerana keadaan sekolah yang sesak akan membawa kepada fizikal kelas padat dan menyebabkan situasi tidak selesa kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Malah, keadaan ini menjadi lebih ketara jika ada murid nakal yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Ini secara langsung akan mengganggu murid yang ingin belajar dan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi.

 
Gaya Pengajaran Guru
Memang tidak dinafikan bahawa murid merupakan pelanggan bagi setiap guru di dalam bilik darjah. Mereka akan bersama setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hati mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang melampaui tingkah laku manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum dalam pengurusan bilik darjah. Guru seharusnya perlu bijak untuk memahami tingkah laku dan budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat.

 
Pengurusan bilik darjah dan gaya pengajaran guru yang tidak teratur sebenarnya boleh menyebabkan tekanan emosi dalam kalangan pelajar. Bilik darjah yang tidak diurus dengan baik serta kurangnya kepimpinan guru dalam aspek pengajaran mereka boleh menyebabkan murid cenderung untuk berubah tingkah laku seterusnya emosi mereka akan terganggu. Oleh yang demikian, guru harus bijak menangani masalah ini serta sentiasa mempelbagaikan kaedah pengajaran yang lebih sesuai, berinovasi dan mampu menarik minat belajar dalam kalangan murid.

 
Peristiwa dalam keluarga
Seterusnya, peristiwa yang berlaku di dalam keluarga juga boleh menyumbang kepada punca berlakunya murid mengalami gangguan emosi. Peristiwa dalam keluarga selalunya melibatkan perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan murid. Peristiwa dalam hidup mungkin bersifat positif atau negatif dan melibatkan diri sendiri atau orang yang tersayang. Antara senario peristiwa hidup yang negative yang biasa kita lihat dan dengar termasuklah kes-kes penderaan, perceraian ibu bapa, kemalangan, kematian, muflis atau hilang pekerjaan, disabitkan kesalahan rasuah, pecah amanah, dipenjara, krisis kewangan dan lain-lain. Manakala peristiwa hidup yang positif termasuk perkahwinan, mengandung, kenaikan pangkat dan berpindah ke rumah baru.
 

Kesemua peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan keluarga seperti yang dinyatakan tersebut sebenarnya memberi kesan ke atas masalah emosi seseorang murid. Peristiwa yang sedemikian akan menyebabkan emosi murid tertekan dan selalunya mereka akan menunjukkan tindak balas fizikal, emosi dan tingkah laku seseorang. Dari segi emosi, murid akan berasa susah hati, murung, sedih, marah, tidak tentu arah, resah dan lain-lain lagi. Di samping itu, keluarga yang sering bertengkar, bergaduh dan kurang mesra, tidak menaruh minat terhadap anak-anak, bercerai, terdapat kematian dan perpisahan akan membawa keadaan gangguan emosi dan penyesuaian kanak-kanak yang tidak stabil.

 

Pengaruh Keluarga
Pengaruh keluarga juga menjadi punca keadaan masalah emosi murid berlaku. Dari segi tingkah laku, murid berkenaan mungkin akan bertindak berlainan di antara satu dengan lain. Sesetengah murid ada yang menjadi kaku, ada juga yang meluahkan emosi manakala ada juga yang tidak menunjukkan sebarang emosi. Keluarga yang mesra antara satu sama lain, demokratik dan ibu bapa yang memenuhi keperluan kanak-kanak akan meningkatkan penyesuaian kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang melihat dirinya diterima oleh ibu bapanya akan menunjukkan aspirasi ego yang lebih tinggi, ketabahan dan ketekunan dalam melaksanakan sesuatu perkara.

 

Pengaruh rakan sebaya
Pada peringkat kanak-kanak, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sedikit berbanding dengan era remaja yang mempunyai peranan yang lebih besar. Namun begitu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi salah satu punca gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak. Minat kanak-kanak ataupun murid sekolah rendah lebih mirip kepada minat rakan daripada ibu bapa. Perihal popular atau tidak popularnya seseorang itu mengikut pandangan rakan-rakannya sangat penting dalam perkembangan personaliti mereka.
 

Golongan murid juga suka membantu, bijak bertoleransi dan melibatkan diri dengan merancang dan memulakan aktiviti kumpulan yang menarik dan menyeronokkan. Murid yang diterima oleh rakan sebaya akan bersikap ceria, bersemangat, baik hati, boleh berjenaka, mempunyai daya usaha, dorongan dan sering memberikan idea yang baik. Murid yang tidak disanjung dan disingkirkan oleh rakan-rakan mempunyai ciri-ciri yang bertentangan dengan mereka yang popular.

 
Murid ini akan berasa kurang yakin pada diri sendiri, penakut dan cuba menjauhkan diri daripada rakan sebaya mereka. Murid dalam kategori sebegini biasanya akan menunjukkan sikap yang agresif, sombong dan terlalu mendesak. Murid yang disukai oleh kawan-kawannya akan berasa iri hati, benci, muram dan marah terhadap kawan-kawan yang tidak menghiraukannya. Semua ini menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi yang perlu diketahui oleh guru dalam menguruskan tingkah laku murid di dalam kelas.

  

Kesan Gangguan Emosi dalam Kalangan Murid
Tidak ada manusia yang dapat rnengelakkan diri dari tekanan. Seperti yang dinyatakan oleh Hans Selye (1956) dalam bukunya The Stress of Life "No one can live without experiencing some degree of stress at all”
 

Tekanan emosi sememangnya boleh membawa kepada kesan yang positif bagi sesetengah Individu kerana Ia boleh mendorong seseorang untuk memperbaiki pencapaian diri, menghadapi cabaran dan membuat penyesuaian dengan corak kehidupan yang sentiasa berubah (Iohnson, 1997). Walau bagaimanapun, tekanan yang tidak dapat dikawal oleh individu yang mengalaminya mungkin mendatangkan kesan yang negative.

 
Wujud juga sesetengah golongan pelajar yang melakukan cara yang tidak betul untuk rnengatasi gangguan tekanan yang akhimya boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada diri rnereka sendiri. Antara contoh-contoh cara yang salah adalah dengan mengambil dadah dan alkohol, tidur dan makan berlebihan ataupun menahan lapar.

 
Hasil kajian-kajian terdahulu menunjukkan tekanan yang dialami oleh pelajar mempunyai kaitan dengan penghargaan kendiri yang rendah (Arora, Kurnari dan Enright, 1988; Youngs, Rathge, Mullis dan Mullis, 1990), lokus kawalan yang lemah (Cole dan Sapp (1988), kemurungan (Toler dan Murphy, 1985), tingkah laku delinkuen (Vaux dan Ruggiero, 1983) dan masalah penyalahgunaan (Mates dan Allison (1992). Hasil kajian yang diperolehi oleh para pengkaji ini membuktikan bahawa tekanan yang tidak terkawal boleh mendatangkan implikasi yang negatif kepada pelajar yang mengalaminya. Justeru, identifikasi awal kepada simptom-simptorn tekanan boleh membantu remaja berkenaan.

 
Antara simptom-sirnptom yang menunjukkan seseorang murid akan mengalami tekanan adalah mengalami gangguan tidur. Pelajar tersebut tidak dapat tidur dengan betul dan ini akan menyebabkan matanya menjadi merah dan selalu berair. Pelajar sebegitu juga mungkin selalu kelihatan kehausan dan keletihan disebabkan tidak cukup tidur. Kesan yang seterusnya ialah menunjukkan reaksi berlebihan terhadap kejadian-kejadian biasa. Apabila seseorang pelajar itu mengalami tekanan emosi dia akan menunjukkan reaksi-reaksi yang abnormal dan berlebihan. Contohnya, marah dan maki hamun mana-mana pelajar yang lain tanpa ada sebab musabab. Kesan yang seterusnya ialah pelajar yang mengalami tekanan emosi akan menunjukkan rasa tidak gembira terhadap pencapalan kendiri serta cenderung untuk mengalami konflik peribadi. Walaupun mereka telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik ataupun kokurikulum tetapi dirinya sendiri tidak akan menghayati dan menghargai pencapaian tersebut dan hanya mengambilnya tanpa makna.

 
Pelajar-pelajar yang telah mengalami tekanan emosi akan mengalami keletihan yang keterlaluan dan sering kekurangan tenaga, menunjukkan tingkah laku gelisah seperti mata berkelip-kelip dan menggeleng-gelengkan kepala, sakit perut atau saklt kepala pada setiap hari atau pada setiap minggu, menunjukkan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian seperti tingkah laku agresif, tidak berupaya rnembuat keputusan dan hilang sifat kelucuan.


Kewujudan salah satu atau sebahagian daripada perkara-perkara yang telah dijelaskan tersebut menunjukkan bahawa golongan pelajar berkernungkinan mengalami tekanan. Pelajar yang mengalaminya berkemungkinan sedar atau tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami gangguan tekanan. Pengenalpastian kesan-kesan yang dinyatakan bukan sahaja dapat memudahkan golongan ibu bapa mernbantu pelajar yang tertekan bahkan pelajar yang menyedari bahawa mereka menunjukkan simptom-simptom tersebut boleh mendapatkan bantuan lebih awal sebelum kesan negatif yang mungkin berlaku akibat tekanan berlaku pada diri pelajar.

 
Kaedah Mengatasi
Tekanan emosi dalam kalangan pelajar ini sebenarnya masih boleh dibendung sekiranya mengetahui faktor-faktor penyebabnya. Ini termasuklah program-program pendidikan sebagai sokongan dalam pembentukkan tingkah laku. Program ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkah laku dan meningkatkan konsep kendiri. Sebagaimana ahli falsafah Yunani Aristotle menegaskan bahawa setiap individu mudah mengalami gangguan emosi sekiranya seseorang itu tidak menguruskan sesuatu perasaan itu dengan sebaiknya. Kini kebanyakan murid telah mengalami gangguan emosi kerana mereka tidak menguruskan emosinya secara berpatutan dengan kebijaksanaan menggunakan kecerdasan emosinya. Antara-antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru, ibu bapa, murid dan pihak sekolah adalah seperti berikut:


a)    Amalkan Sikap Kepimpinan Demokratik

b)    Mengelolakan Banyak Aktiviti Kumpulan

c)    Menggunakan Percakapan Yang Sesuai

d)    Guru membantu murid yang bermasalah

e)    Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling Pihak sekolah

f)     Murid bersifat self-efficacy

 
Mengamalkan sikap kepimpinan demokratik
Kepimpinan guru yang bersifat demokratik boleh mewujudkan interaksi dua hala dan membawa kepada suasana sosio-emosi yang sihat, mesra dan harmonis di antara guru dengan murid-muridnya. Sifat kepimpinan demokratik ini boleh mengurangkan suasana yang tegang dan menggalakkan murid-murid berdamping rapat dengan guru, tidak merasa segan untuk bertanya atau mengemukakan pendapat mereka. Sifat kepimpinan demokratik ini juga mendorong murid-murid berinteraksi di antra satu sama lain, dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kumpulan.

 
Mengelolakan banyak aktiviti kumpulan
Aktiviti Kumpulan memberi banyak peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi di antara satu sama lain. Oleh itu, guru harus berikhtiar merancang dan menguruskan banyak aktiviti kumpulan untuk membolehkan murid-murid menjalankan aktiviti pengayaan, aktiviti pemulihan, lakonan, sesi buzz, permainan pertandingan atau kerja projek. Aktiviti-aktiviti sebegini akan merangsang murid untuk menampil diri kehadapan bagi menyiapkannya serta mereka tidak akan berasa diri mereka diasingkan. Aktiviti-aktiviti ini juga boleh menggalakkan murid untuk menujukkan bakat yang terpendam dalam diri mereka.

 
Menggunakan percakapan yang sesuai
Sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Flanders, percakapan guru yang boleh mewujudkan interaksi guru dengan murid-muridnya adalah diklasifikasikan di bawah kategori pengaruh tidak langsung. Ini bermakna, untuk mewujudkan interaksi dua hala, selain menggunakan kaedah menyoal, percakapan guru harus boleh menggalakkan murid untuk mengemukakan pendapat atau memberi tindak balas mereka. Contohnya, guru boleh menggunakan modifikasi tingkah laku yang bersesuaian. Peneguhan positif seperti memuji diberi kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang diingini. Hukuman dikenakan perlu adil dan berseuaian.

 
Guru membantu murid yang bermasalah
Sekiranya terdapat murid yang mempunyai masalah peribadi seperti bersifat pendiam, penakut, pemalu, guru seharusnya mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya. Selepas itu, guru menggalakkan mereka menyertai dalam aktiviti pembelajaran bersama murid-murid yang lain. Guru juga seharusnya mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat menerima murid-murid yang bermasalah dalam kumpulan mereka dan tidak menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat mengelakkan murid yang bermasalah mengalami gangguan emosi.

 
Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah
Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah boleh menganjurkan program-program yang berbentuk pendidikan sebagai tindakan sokongan dalam pembentukan tingkah laku. Program-program ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkah laku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid.

 
Murid bersifat self-efficacy
Mengikut Albert Bandura, murid haruslah bersifat self-efficacy iaitu murid yang boleh belajar daripada kekalahan, mengambil inisiatif mencari punca kekalahan, memikir bagaimana membaikinya demi menukarnya kepada kemenangan, dan bukan membimbangi atau menyedih kerana kekalahan. Murid belajar untuk memandang segala perkara secara optimistik kerana ia merupakan cara yang paling berkesan untuk menentang emosi yang kurang sihat ini. Murid-murid yang mengalami gangguan emosi perlu mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling. Mereka ini perlu mendapat khidmat bimbingan kepada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang berkelayakan atau bertauliah.

 
Kerjasama dengan ibu bapa juga perlu semasa seseorang murid itu mendapat bimbingan daripada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang bertanggungjawabnya. Ini kerana ibu bapa juga perlu diberi maklumat yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Perbincangan antara dua pihak itu dibuat dari semasa ke semasa dan apa juga cadangan untuk menangani masalah yang dihadapinya perlu dibuat bersama-sama. Selain daripada itu, ibu bapa juga harus membelikan buku-buku yang berkaitan dengan teknik-teknik meningkatkan kecerdasan emosi dan menghadiahkannya kepada anak yang mengalami gannguan emosi. Ibu bapa juga seharusnya dapat memberikan beberapa tunjuk ajar tentang cara menguruskan emosi masing-masing.


Guru atau ibu bapa seharusnya tidak memukul murid atau anak yang mempunyai tingkah laku yang tidak diingini seperti anak yang sering kali ponteng sekolah atau anak yang merokok. Murid perlu diberi peluang untuk mengenalpasti kesalahan atau tingkah laku yang tidak diingini dan seterusnya diberi ruang untuk memperbaiki tingkah laku yang tidak diingini tersebut. Ini kerana sekiranya mereka memukul anak tersebut, ia cenderung untuk menggalakkan wujudnya perasaan benci, marah terhadap orang yang memukulnya dan anak itu tidak akan memperbaiki tingkah laku itu. Ini akan meyebabkan anak atau murid itu mengalami gangguan emosi.

 

Kesimpulan
Emosi merupakan salah satu unsur yang memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga merupakan salah satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberikan kesan-kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Murid-murid yang mengalami gangguan emosi perlu diberi bimbingan kerjaya. Dengan ini, mereka akan meningkatkan konsep kendiri yang yang lebih positif. Langkah-langkah diatas adalah langkah-langkah yang paling berkesan kepada murid yang gagal menguruskan emosi, mereka dengan berkesannya. Langkah-langkah di atas ini akan membantu seseorang individu yang mengalami gangguan emosi untuk menguruskan emosinya dengan lebih berkesan secara berpatutan dengan kebijaksanaan menggunakan kecerdasan emosinya.


Bibliografi
Amir Awang, (1983). Memilih Pekerjaan. Dewan Masyarakat. 21(12): 4-7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anderson, E.D. and Cole, B., (1988). Stress Factors to Reported Academic Performance and Burnout. Journal of Education. 108: 497-504.
Atkinson, J.M., (1988). Coping With Stress At Work. England: Thorsons Publishers Limited.
Awang Had Salleh, (1986).  Ke Arah Pencapaian Akademik Yang Cemerlang Di kalangan Pelajar Bumiputera Melalui Kaunseling. Kertas Kerja Seminar Ke-2 Kaunseling. Pulau Pinang : USM.
Campbell, R.L. and Svenson, L.W., (1992). Perceived Level of Stress Among University Undergraduate Students in Edmonton, Canada. Perceptual & Motor Skills. 75: 552-554.
Chai Ming Sing, Mohamed Fadzil Che Din dan Lily Mastura Hj. Harun, (2004). Level of Psychological Stress Among College Students in Malaysia. Kertas Kerja Seminar Kaunseling: UUM.
Dunkley, D.M., Zuroff, D.C. and Blankstein, K.R., (2003). Self-critical Perfectionism and Daily Effect: Dispositional and Situational Influences on Stress and Coping. Journal of Personality and Social Psychology. 84: 234 – 260.
Ellis, A., (2002). Overcoming Resistance: A Rational Emotive Behavior Therapy Integrated Approach. 2nd edition. Springer Publishing Company. 
Lessard, J.J., (1998). Adolescent Stress an Workload: From Bamboo Seed to Flying. Guidance & Counseling. 14: 15-19.

 

No comments:

Post a Comment